Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengubah prosedur operasi standard (SOP) semasa perayaan Aidiladha tidak lama lagi sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengubah prosedur operasi standard (SOP) semasa perayaan Aidiladha tidak lama lagi sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini, SOP-nya masih kekal termasuklah tidak menghadkan jumlah pengunjung dalam sesebuah rumah.

“Kita masih konsisten. Kalau boleh, kita tidak mahu ada perubahan, jangan hari ini kita benarkan aktiviti kunjung-mengunjung secara bebas tetapi pada hari raya kita hadkan pula.

“Tetapi polisi akan sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Masa masih panjang sebelum tiba hari raya. Sekiranya terdapat peningkatan mendadak kes positif, kita boleh ubah,” katanya semasa sidang media hari ini.

Menyentuh mengenai rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara, kerajaan katanya, telah mengambil keputusan untuk membenarkan perkongsian bilik dalam kalangan ahli keluarga.

Ini termasuk membenarkan anak yang berumur 12 tahun ke bawah untuk berkongsi bilik dengan ibu bapa yang pulang dari tempat yang sama.

Bagaimanapun, mereka yang ingin berkongsi bilik perlu menandatangani surat persetujuan terlebih dahulu.

Ini bagi memastikan mereka memahami risiko jangkitan sekiranya berbuat sedemikian.

Selain itu, penaja-penaja diminta membayar kos kuarantin bagi pelajar tajaan.

Manakala bagi pelajar dari keluarga B40, mereka boleh memohon pengecualian bayaran, jelas beliau lagi.

Kos kuarantin Orang Kelainan Upaya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.- MalaysiaGazette