KUALA LUMPUR – Penyanyi lagenda terkenal India Selatan, SP. Balasubrahmanyam melahirkan rasa penghargaan serta pujian tidak berbelah bahagi kepada Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Penyanyi itu yang lebih mesra dengan panggilan SPB itu ketika berada di Malaysia minggu lepas bagi konsert SPB Live in Malaysia ‘Illaya Nila’ sempat melontarkan pujian itu ketika persembahan itu sedang berlangsung di hadapan kira-kira 3,5000 penonton.

Kata SPB kepada pemilik Malik Streams Corporation, beliau cukup teruja melihat anak muda seperti Abdul Malik bukan sahaja telah berjaya dalam hidup sebaliknya menggunakan kejayaan itu bagi terus melakukan pelbagai aktiviti amal khasnya untuk manfaat rakyat di negara ini.

Dalam nada cukup bersahaja dan teruja, SPB juga melahirkan penghargaan tidak terhingga dan mahu Abdul Malik untuk meneruskan usaha-usaha beliau bukan sahaja mempromosi dunia hiburan sebaliknya lebih aktif dalam meneruskan sumbangan amalnya sehingga bila-bila.

“Saya ingin cakap sedikit tentang Abdul Malik ini, semoga tuhan merahmati anda Abdul Malik. Saya sememangnya akan berdoa untuk kamu kerana pengorbananan serta sumbangan yang diberikan oleh kamu.

“Dalam usia yang begitu muda, saya telah dengar tentang kejayaan yang telah dikecapi oleh kamu, sememangnya sesuatu yang cukup membanggakan. Banyak perkara luar biasa yang saya dengar dan telah lihat dilakukan oleh anda. Saya cukup bangga dan teruja sebenarnya,” katanya ketika selang seli nyanyian beliau.

Kata SPB lagi, beliau juga mahu Abdul Malik untuk terus menyambung amal jariah yang dilakukan olehnya dengan menyifatkan ianya sebagai sesuatu yang mulia serta rahmatnya di peroleh berlipat kali ganda.

“Saya cukup teruja, anda melakukan macam-macam. Saya dengar juga bukan sahaja di sini tetapi juga di luar. Tidak ada kata-kata sebenarnya. Semoga Tuhan akan terus merahmati kamu.

“Segala budi serta jasa-jasa ini seharusnya diberikan pujian dan ingatan sehingga bila-bila, teruskan usaha kamu Abdul Malik,” katanya sambil tepukan gemuruh dari semua.

Untuk Abdul Malik menerima pujian daripada ini daripada SPB yang bukan calang-calang orangnya tentu sesuatu yang sungguh membanggakan.

Umum mengenali SPB sebagai pemegang Guinness World Records kerana keupayaannya menyanyikan lebih 40,000 buah lagu selama berdekad malah setiap satunya telah berjaya memenangi beratus juta peminat seluruh dunia.

Malah Malik Streams yang cukup terkenal selepas pembikinan filem Superstar Rajinikanth ‘Kabali’ tentunya lebih daripada laya untuk menerima pujian seperti ini apatah lagi sebelum ini ramai juga senada dengan SPB.

Rajinikanth sendiri sebelum ini beberapa kali melahirkan rasa penghargaan kepada Abdul Malik malah bukan satu rahsia lagi kepada dunia luar tentang keakraban mereka berdua sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Umum juga tahu tentang rekod Malik Streams Corporation sebagai sebuah syarikat produksi perfileman Hindi dan Tamil yang menayangkan filem-filem box office berkenaan di Malaysia sebelum ini seperti Kabali, Petta, Singam 3, Dilwale dan banyak lagi.

Abdul Malik juga telah sekaligus mempromosi Kempen Tahun Melawat Malaysia dengan sentiasa mencari ruang serta peluang kepada orang luar melakukan pembikinan filem di negara sejak akhir-akhir ini.

Konsert berprestij  ‘SPB Live in Concert-Illaya Nila’ yang diadakan di Plenary KLCC anjuran Raaghav Production dengan kolabrasi Malik Streams bukan sahaja berjaya malah tiketnya juga telah berjaya di jual seperti ‘goreng pisang panas’ pada 31 Ogos lepas.

Ini merupakan konsert kedua SPB yang hadir untuk kali kedua selepas kejayaan konsert sama tahun lalu dengan permintaan tinggi serta sokongan tidak berbelah bahagi peminat Malaysia menyebabkan beliau datang lagi. –MalaysiaGazette