Home Nasional Speaker Selangor serah surat pendirian kepada Pandikar

Speaker Selangor serah surat pendirian kepada Pandikar

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan usul tergempar untuk membahas dan mengecam laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib di Parlimen, hari ini.

Usul tergempar yang dibawa Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing) itu kemudian dibahaskan.

Rajiv pada sidang media hari ini memaklumkan pendirian sebulat suara DUN negeri itu akan dibawa ke Parlimen untuk makluman Speaker Pandikar Amin Mulia.

Namun beliau sedar tindakan yang diambil itu tidak akan memberi kesan terhadap apa juga keputusan berhubung persempadanan semula yang akan dicapai di Dewan Rakyat.

“Keputusan yang dibuat akan dihantar kepada Speaker untuk makluman sahaja. Tidak ada kesan rasmi, hanya untuk memaklumkan pendirian kami,” katanya.

Najib membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri-Negeri Tanah Melayu di Dewan Rakyat pada hari ini.

Persempadanan baharu itu bakal menyaksikan jumlah daftar pemilih meningkat sebanyak 36 peratus berbanding daftar pemilih yang digunakan pada tahun 2003 iaitu sebanyak 11,379,352 orang. – MalaysiaGazette