Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melambaikan tangan kearah penyokongnya selepas menghadiri prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2022.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 19, 20 dan 26 Januari ini bagi mendengar permohonan semakan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda setelah beliau didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.

Bagaimanapun baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan memaklumkan dua hari bagi pendengaran itu telah dilapangkan kerana beberapa hakim yang menganggotai panel untuk mendengar semakan Najib terlibat dengan kes lain.

Pada 6 September lalu, bekas Perdana menteri itu melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan dalam mengesahkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya.

Pada masa sama, Najib membuat kejutan pada 5 Januari lepas dengan memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Penahanan Arbitrari (UNWGAD) memohon agar dibebaskan daripada penjara atau kes SRC International dibicarakan semula.

Najib tidak meminta PBB memutuskan sama ada beliau bersalah atau tidak tetapi hanya mahu pertubuhan hak asasi antarabangsa itu menentukan sama ada perbicaraan SRC International dilakukan secara adil atau sebaliknya.

Kumpulan kerja PBB boleh meminta kerajaan Malaysia membebaskan Najib atau memberikannya perbicaraan semula, jika mendapati perbicaraan terhadap Najib tidak adil.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Menurut peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada MalaysiaGazette, prosiding Mahkamah Persekutuan gagal memberikan peluang yang munasabah kepada Najib untuk menghujahkan kesnya dan menafikan barisan peguam masa yang mencukupi untuk membuat persiapan.

Beliau berkata, tempoh beberapa hari terakhir sebelum pendengaran rayuan itu pada Ogos 2022, telah membawa kepada ‘keadilan yang tergesa-gesa’ apabila pembelaan tidak diberikan masa secukupnya yang diperlukan.

Hakikatnya lebihan masa itu telah dipohon untuk meneliti berpuluh-puluh ribu halaman dokumen rayuan atau memahami 94 alasan rayuan yang difailkan oleh peguam terdahulu Najib.

Pada majlis perasmian Tahun Undang-undang 2023 awal minggu ini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, petisyen difailkan Najib kepada PBB tidak menjejaskan badan kehakiman dan ia terserah kepada bekas Perdana Menteri itu untuk mengambil tindakan.

“Tugas kami sudah selesai. Kami telah melaksanakan tanggungjawab kami dari segi memutuskan kes itu. Apa sahaja yang beliau mahu lakukan, apa sahaja jalan yang beliau mahu lalui, itu di luar kuasa kami,” ujar Tengku Maimun.

Petisyen Najib kepada PBB tidak beri kesan atas badan kehakiman – Tengku Maimun

Persoalannya, adakah tugas badan kehakiman telah ‘selesai’ selepas menghantar Najib ke Penjara Kajang?

Pada himpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi pendirian menuntut supaya Najib diberikan keadilan di mahkamah.

Katanya, pertuduhan penyelewengan dana dikenakan terhadap Najib adalah pendakwaan politik dan terpilih.

Malah sentimen itu turut dirasai perwakilan serta pimpinan UMNO pada perhimpunan tersebut yang melahirkan hasrat supaya keadilan diberikan kepada bekas Presiden UMNO itu.

Hakikatnya, Najib kerap kali menyatakan beliau percaya mahkamah merupakan platform terbaik untuk membersihkan namanya tetapi beliau tetap gagal kerana tidak diberikan peluang sedemikian.

Jika permohonan semakan Najib kali ini dibenarkan, maka kes itu mungkin akan didengar di depan Hakim Mahkamah Tinggi lain atau rayuannya akan didengar di Mahkamah Persekutuan di hadapan panel lain.

Bagaimanapun, jika permohonan ditolak, Najib akan terus berada di Penjara Kajang. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.