Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan (KKM) telah mengenakan pemeriksaan ke atas
semua strawberi segar yang diimport dari Australia di semua pintu masuk negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu berkuatkuasa semalam, pihak berkuasa Australia telah memberi jaminan bahawa produk yang dieksport itu bebas daripada pencemaran logam melalui pengeluaran Perakuan Permit (Request for Permit – RFPs) kepada pengeksport.

“Dalam hal ini, KKM bekerjasama rapat dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi
Australia di Malaysia berkaitan isu ini,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Australia telah mengarahkan penarikan balik produk strawberi jenama Berry Obsession, Berry Licious, Love Berry, Donnybrook Berries, Delightful Strawberries dan Oasis yang mengandungi jarum akibat sabotaj.

Beliau berkata, semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di
pasaran mematuhi perundangan makanan.

Tambah beliau, Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau
selainnya memudaratkan kesihatan merupakan suatu kesalahan.

Jelas beliau, jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, pengguna tidak perlu khuatir kerana Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas
isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin.

Tambah beliau, sekiranya pengguna mempunyai kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang
http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti
Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – MalaysiaGazette