Home Nasional Suhakam adakan siasatan kehilangan Koh, aktivis

Suhakam adakan siasatan kehilangan Koh, aktivis

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan siasatan awam berhubung kehilangan Paderi Raymond Koh, aktivis sosial Amri Che Mat, Joshua dan isterinya, Ruth Hilmi pada bulan ini dan November.

Sehingga kini, badan itu telah merekod sebanyak 35 keterangan daripada saksi-saksi kes dan proses siasatan adalah bertujuan untuk mencari jawapan serta petunjuk berhubung kehilangan mereka.

Ahli panel siasatan terdiri daripada Pesuruhjaya Datuk Mah Weng Kwai (Pengerusi), Prof. Datuk Dr. Aishah Bidin dan Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Berikut adalah Terma Rujukan Siasatan:
a) Untuk menentukan sama ada kes-kes kehilangan ini adalah seperti yang ditakrifkan di bawah Konvensyen Antarabangsa tentang Perlindungan Semua Orang dari Tindakan Penghilangan Paksa atau ia adalah kes-kes kehilangan secara sukarela yang
melanggar undang-undang jenayah dan / atau sivil dan / atau undang-undang hak asasi manusia (selepas ini dirujuk sebagai pelanggaran yang sedemikian);

b) Sekiranya (a) dapat dipastikan, maka siasatan seterusnya ialah berkenaan:
i. Bagaimana dakwaan pelanggaran itu berlaku;
ii. Untuk mengenalpasti individu atau agensi yang bertanggungjawab terhadap pelanggaran tersebut;
iii. Apakah arahan pentadbiran atau prosedur atau aturan yang menyumbang kepada pelanggaran tersebut;
iv. Untuk pertimbangan sama ada pihak berkuasa, khususnya Polis DiRaja Malaysia telah mengambil tindakan yang memadai untuk menyiasat pelanggaran tersebut.

c) Untuk mengesyorkan langkah-langkah atau garis panduan yang perlu diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak berulang.

Siasatan Awam ini akan diadakan di Bilik Inkuiri SUHAKAM, Tingkat 13, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur.

Orang ramai, pihak berkepentingan dan media dijemput hadir. – MalaysiaGazette