Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah seorang raja yang pendiam dan tidak cerewet sejak zaman muda lagi.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bakal mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara, di sini, jam 10 pagi, hari ini.

Istiadat itu akan disaksikan oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) seperti termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, istiadat memuliakan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Abdulaziz telah bermula jam 6.30 pagi ini.

Istiadat berkenaan dimulakan dengan ketibaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan Exco kerajaan negeri.

Baginda kemudiannya berangkat ke Pangkalan Tentera Udara di Kuantan pada jam 7.12 pagi tadi dan dijangka disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Mainunah kemudian menaiki pesawat khas untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 pagi ini.

Semalam, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di kediaman rasmi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz, Kuantan tepat jam 12 tengah malam tadi.

Bendera itu dinaikkan seorang pegawai dan dua anggota dari Kompeni Ke-4 Polis Tentera Diraja (Mekanize) berpangkalan di Kem Batu 10, di Kuantan sambil diiringi lagu ‘Negaraku’ yang dimainkan pancaragam dari Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur.

Terdahulu, tepat jam 11.45 malam bendera peribadi Sultan Pahang diturunkan oleh seorang pegawai dan 13 anggota Provos TUDM Kuantan. – MalaysiaGazette