Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membincangkan isu penggunaan Kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam dalam mesyuarat badan itu, Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dicapai selepas beliau menghadap baginda untuk menyembah maklum pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung keputusan Kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.

“Baginda telah bersetuju membawa perkara ini untuk dibincangkan dalam majlis berkenaan pada Ogos ini sebelum ia diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada Oktober,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Notis pemberhentian rayuan tersebut telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 18 April lalu.

Notis itu antara lain menyatakan, KDN dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Dalam pada itu, semasa menghadap baginda, perdana menteri menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan menghormati undang-undang yang berkuat kuasa di negeri-negeri.

“Kerajaan Persekutuan juga menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri dan peranan Majlis Raja-Raja berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, pandangan baginda selari dengan keputusan Jemaah Menteri Mei lalu di mana isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.

“Saya sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette