KUALA LUMPUR – Kementerian Tanah, Sumber Asli dan Air mendedahkan wujud aktiviti perlombongan di kawasan hulu bukit Gua Musang yang dikatakan menjadi punca kematian beberapa masyarakat Orang Asli suku Bateq.

Timbalan Menterinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dalam lawatan dan tinjauannya berkata, pihaknya mendapati sumber air yang diminum itu datang dari kawasan di mana terdapat aktiviti perlombongan.

Kata beliau, walaupun aktiviti perlombongan itu mendapat kebenaran kerajaan Persekutuan dan lesennya dari kerajaan negeri, namun operasinya sepatutnya tamat pada 2017.

“Lesen operasinya di bawah kerajaan pusat walaupun sesebuah syarikat itu telah mendapat lesen perlombongan daripada kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, untuk kelulusan lesen operasi, sesebuah syarikat mesti ada laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya yang melakukan tinjauan khas ke kawasan Orang Asli di Kampung Koh hari ini,

Berdasarkan laporan bedah siasat, kematian tiga Orang Asli berpunca dari sejenis penyakit dikenali sebagai pneumonia yang boleh menyerang saluran paru-paru.

Setakat ini angka kematian rasmi polis dicatatkan adalah tiga orang berbanding 14 orang seperti dilaporkan media sebelum ini.

Tengku Zulpuri Shah yang juga Ahli Parlimen Raub berkata, beliau tidak menolak kemungkinan jangkitan itu berpunca daripada sisa perlombongan dan racun tanaman yang masuk ke dalam sumber air sungai berdekatan.

Namun, katanya, mengikut semakan, sepatutnya aktiviti perlombongan itu tidak lagi beroperasi. – MalaysiaGazette