MELAKA – Pencemaran Sungai Melaka yang menyebabkan air bertukar warna menjadi hitam, berbau busuk dan ikan mati dikesan berlaku terutama di Taman Rempah di sini sejak semalam, kata Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong.

Low, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana, berkata pencemaran itu dikesan bermula dari Empangan Batu Hampar di Batu Berendam di sini dan berikutan itu, arahan penutupan empangan berkenaan dilakukan dengan segera bagi mengelak situasi menjadi lebih buruk.

“Kita bimbang pencemaran seumpama ini menjadi lebih teruk dan tidak mahu kejadian pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini berlaku di sini.

“Kita telah meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan untuk segera bertindak dan mengambil sampel air sungai tercemar serta bangkai ikan untuk dianalisis bagi mengetahui punca pencemaran dan tahap keseriusannya,” katanya pada sidang media di Jeti Melaka River Cruise di Taman Rempah di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin.Sementara itu, Azlan berkata pihaknya akan melakukan ‘flashing’ air dengan membuka empangan di muara Sungai Melaka di sini dan memastikan Empangan Batu Hampar ditutup agar air sungai tercemar dapat dialirkan keluar ke laut kira-kira tengah malam nanti.

Kira-kira 60 kakitangan PPSPM akan terlibat dalam kerja-kerja pembersihan ini yang mana bangkai ikan yang mati dan sampah sarap telah mula dilakukan sejak pagi ini.

“Berdasarkan maklumat awal daripada kakitangan teknikal PPSPM, air tercemar itu datang dari Batu Hampar dan sekarang ini mereka berada di luar kawasan itu untuk mengenal pasti punca di mana ia bermula. Di kawasan Malim juga dikesan terdapat air berwarna hitam sama macam di sini dan sampel air di sana juga akan diambil untuk diserahkan kepada JAS,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah menerima beberapa aduan daripada orang awam khususnya penumpang, yang menaiki perkhidmatan Melaka River Cruise, mengenai bau busuk dan perubahan warna air di Sungai Melaka.

Sekiranya keadaan tidak dapat ditangani dengan kadar segera, pihaknya berkemungkinan akan menutup operasi Melaka River Cruise buat sementara waktu.- BERNAMA