Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak dapat mengulas lanjut mengenai surat kononnya dari ahli-ahli Parlimen BN yang didakwa sepakat menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Katanya, ia tidak dapat disahkan sama ada surat itu benar daripada BN atau tidak.

“Saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara ini memandangkan kesahihan surat tersebut tidak dapat disahkan dan tiada pihak yang tampil untuk mengaku bertanggungjawab mengeluarkan kenyatana berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zambry, pejabatnya hanya bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan rasmi yang diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Malah ia juga perlu mengikut persetujuan bersama dalam kalangan pimpinan utama BN.

“Amalah kesatuan dan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli Parlime BN dalam menentukan sebarang keputusan bersama tetap diperlihat.

“Justeru itu sebarang langkah dan tindakan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu bagi tujuan menimbulkan keraguan dan perpecahan di kalangan BN amat dikesali,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan ahli-ahli Parlimen BN mengumumkan sepakat kekal menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin.

Surat itu dikeluarkan untuk menyokong Perdana Menteri untuk meneruskan agenda membela rakyat.

Menurut surat itu, pendirian itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO awal Khamis.

“Apa yang menjadi keutamaan ahli-ahli Parlimen pada waktu ini adalah usaha memastikan agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN), dapat direalisasikan dengan keyakinan bahawa rakyat akan kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum Pandemik Covid-19,” tulis surat itu.

Ia tular selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Muhyiddin dengan serta-merta.

Menurut Ahmad Zahid, ia hasil daripada mesyuarat MT yang mendapati segala panduan utama yang digariskan oleh UMNO sebagai syarat sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini telah gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan. – MalaysiaGazette