Datuk Suraya Yaacob.

ALOR SETAR – Spekulasi mengatakan saya keluar UMNO dan menyertai Pakatan Harapan (PH) tidak benar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Suraya bagaimanapun tidak menafikan ada tawaran daripada pihak PH untuk menyertai kerajaan negeri namun menyatakan kesetiaannya bersama Barisan Nasional (BN) meskipun di Kedah hanya tiga orang dalam ADUN sahaja.

“Saya masih bersama BN, tak betul tu saya keluar… saya bertanding atas tiket BN dan menang atas tiket parti, jadi saya perlu menjaga amanah mereka yang memilih saya semasa pilihan raya lalu,” katanya semasa dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, spekulasi mengatakan Suraya bersama dua lagi ADUN di Kedah sudah ‘melompat’ parti dan menyertai kerajaan PH.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijadual mengangkat sumpah hari ini sebagai Menteri Besar baharu Kedah menggantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah. – MalaysiaGazette