Sebuah SUV terbakar selepas terlibat dalam nahas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang hari ini.

BATU KAWAN –  Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbakar selepas terlibat dalam nahas membabitkan sebuah lagi SUV di Kilometer 6.3 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menghala Batu Kawan di sini, hari ini.

Kemalangan jam 12 tengah hari itu membabitkan dua SUV jenis Mazda CX3 dan Mazda CX5 namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, hasil siasatan awal mendapati Mazda CX3 dipandu wanita berusia 38 tahun dari Teluk Kumbar menghala Batu Kawan.

Mohd Norazmi.

Jelas beliau, ketika wanita itu sedang memandu di lorong kiri tiba-tiba SUV jenis Mazda CX5 memasuki laluannya sebelum melanggar bahagian hadapan sisi kanan kenderaan itu.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan Mazda CX5 terbabas dan terbalik di lorong kecemasan sebelum terbakar manakala SUV dipandu wanita itu pula mengalami kerosakan pada bahagian hadapan serta sisi kanan.

“Mangsa wanita itu cedera di bahagian siku kanan manakala mangsa dalam Mazda CX5 dikatakan mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum kehadiran pihak polis,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mazda CX3 dipandu seorang wanita mengalami kerosakan teruk akibat pelanggaran itu.

Tambah Mohd Norazmi berkata, siasatan lanjut mendapati kemalangan berpunca daripada Mazda CX5 yang mengubah laluan.

“Buat masa ini, kita sedang mengesan mangsa yang dihantar ke hospital untuk rawatan susulan kejadian itu serta saksi awam bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kawan, Azmi Tahar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian 12.08 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

Mangsa dalam SUV Mazda CX5 dikejarkan ke hospital oleh awam sebelum kehadiran pihak polis.

“Sebaik tiba kita dapati sebuah kereta sedang terbakar sebelum operasi memadamkan api dilakukan.

“SUV itu terbakar 80 peratus dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.32 petang,” katanya. – MalaysiaGazette