Home Dunia Sydney, Melbourne diancam cuaca panas

Sydney, Melbourne diancam cuaca panas

Australia diancam cuaca panas sehingga 50 darjah selsius pada tahun 2040. Gambar hiasan

CANBERRA – Sydney dan Melbourne kemungkinan mengalami suhu 50 darjah selsius dalam masa 25 tahun walaupun Australia memenuhi sasaran pemanasan global Paris, menurut satu kajian.

Kawasan-kawasan lain di Australia juga perlu bersiap sedia untuk mengalami suhu melampau.

Hasil kajian itu dijalankan oleh Australia National University (ANU) dan disokong oleh Pusat Kecemerlangan Sains Sistem Iklim, sebuah konsortium antarabangsa.

Kajian itu menilai kemungkinan besar suhu ekstrem pada masa depan di bawah Perjanjian Paris yang membabitkan 196 negara, mensasarkan peningkatan suhu global pada suhu antara 1.5 darjah selsius hingga 2 darjah selsius melepasi paras pra-perindustrian.

“Bandar-bandar utama di Australia seperti Sydney dan Melbourne, mungkin mengalami suhu tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu 50 darjah selsius,” kata pengarang dan Ahli Sains Iklim ANU, Sophie Lewis, sambil menambah ia boleh berlaku menjelang tahun 2040an.

“Peningkatan suhu musim panas di Australia menunjukkan bahawa bandar-bandar utama lain juga perlu bersedia dengan haba ekstrem pada masa depan yang belum pernah terjadi sebelum ini,” tambah beliau.

Pemodelan kajian iklim mensasarkan suhu harian hingga 3.8 darjah selsius melebihi rekod yang ada di Victoria dan New South Wales, walaupun usaha untuk mengekang pemanasan dilakukan.

Australia mensasarkan untuk mengurangkan pelepasan karbon kepada 26 hingga 28 peratus daripada paras tahun 2005 menjelang tahun 2030.

Ia mewakili 50 hingga 52 peratus pengurangan pengeluaran per kapita antara tahun 2005 dan 2030.

Dengan penggunaan kuasa arang batu yang tinggi dan populasi yang agak kecil sebanyak 24 juta, Australia dianggap sebagai salah satu pencemar gas rumah kaca per kapita terburuk di dunia. – MalaysiaGazette