SHANGHAI – Huawei Technologies menjangkakan pendapatannya melonjak 18% pada tahun 2019 kepada 850 bilion yuan (AS$121.72 bilion), lebih rendah daripada unjurannya sebelum ini disebabkan tindakan Amerika Syarikat (AS) menyenaraihitamnya, sekali gus mengekang pertumbuhan dan mengganggu keupayaannya.

Pada tahun 2-18 pendapatan tahunan Huawei meningkat 19.5%.

Pembuat peralatan rangkaian telekom terbesar di dunia dan pengeluar telefon pintar kedua terbesar itu telah diharamkan oleh AS sejak bulan Mei lalu daripada melakukan perniagaan dengan syarikat-syarikat AS, menghalang akses kepada teknologi seperti sistem operasi Android Google.

Kerajaan AS menuduh peralatan Huawei menimbulkan risiko keselamatan negara kerana digunakan oleh kerajaan China untuk mengintip pengguna namun dinafikan Huawei.

Pengerusi Huawei, Eric Xu dalam mesej Tahun Baru kepada para pekerja dan pelanggannya meramalkan tahun 2020 sebagai “tahun yang sukar”.

Menurutnya, entiti itu tidak mungkin berkembang secepat seperti yang berlaku pada separuh pertama tahun ini.

Syarikat itu tidak mengumumkan prestasi suku keempat tetapi menurut pengiraan Reuters berdasarkan kenyataan sebelumnya, hasil pada sukuan ke akhir Disember 31 meningkat kepada 239.2 bilion yuan (AS$ 23.28 bilion), naik 3.9% berbanding tahun sebelumnya dan lebih perlahan daripada peningkatan 27% yang dilaporkan pada suku ketiga.

“Persekitaran luaran semakin rumit berbanding sebelumnya dan tekanan ke atas ekonomi global semakin meningkat,” katanya.

“Dalam jangka panjang, kerajaan Amerika Syarikat akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan teknologi terkemuka – persekitaran yang mencabar untuk Huawei bertahan dan berkembang maju”.

Xu berkata Huawei memasarkan 240 juta telefon pintar tahun ini, peningkatan 20% berbanding tahun 2018.

Huawei sempat menjual telefon pintar yang dilancarkan sebelum pengharaman oleh AS.

Telefon pintar Mate 30 yang terbaharu mula dijual pada bulan September tetapi ia tidak dapat akses versi lesen sistem operasi Android Google kerana sekatan perdagangan.

Xu berkata, Huawei akan berusaha sehabis boleh untuk membangunkan ekosistem Perkhidmatan Mudah Alih Huawei, yang merangkumi perkhidmatan seperti penyimpanan awan dan galeri aplikasi, menggambarkannya sebagai “asas keupayaan Huawei menjual peranti pintar di pasaran di luar China”. – MalaysiaGazette