Natanael Siringoringo.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap dari Indonesia, Natanael Siringoringo mengambil tindakan undang-undang terhadap Kelantan FC selepas dia tidak dibayar gaji oleh kelab yang dimiliki Norizam Tukiman atau Zamsaham itu.

Menerusi makluman ejen Natanael iaitu 2Touch International di media sosial, pihak peguamnhya sudah mengambil tindakan undang-undang ke atas Kelantan selepas kelab itu gagal membayar gaji pemain yang diwakilinya.

“Natanael Siringoringo bakal meninggalkan Kelantan di mana pihak peguam sudah mengambil tindakan undang-undang ekoran kegagalan kelab itu membayar gaji. Walaupun sudah diberi masa 15 hari untuk menyelesaikan masalah namun kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

“Oleh itu, Natanael akan menjadi ejen bebas dan ketika ini dia sedang berunding dengan beberapa pasukan dari Malaysia, Thailand dan Singapura.

“Kami mendoakan kejayaan Natanael pada masa akan datang,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh 2Touch International di Instagram miliknya.

Natanael bukan satu-satunya pemain yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Kelantan di mana sebelum ini salah seorang bekas pemain, Rozaimi Rahamat turut membuat tindakan sama di mana dia mengambil tindakan udang-undang terhadap Zamsaham.

Dakwa isteri Rozaimi yang hanya mahu dikenali sebagai Rose, suaminya bertindak demikian setelah beliau mendakwa difitnah oleh Zamsaham Rozaimi memboikot aksi menentang Sabah bulan lalu.

Sedangkan penjaga gol itu dihalau dari menyertai pasukan ekoran meminta gaji penuh kepada pihak pengurusan. – MalaysiaGazette