Taman Negara Johor Endau Rompin (TNJER) dicalonkan sebagai ASEAN Heritage Park (AHP).-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Taman Negara Johor Endau Rompin (TNJER) dicalonkan sebagai ASEAN Heritage Park (AHP).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada 7 Mac lalu.

Pencalonan AHP ini akan menjadi pengiktirafan AHP yang keempat bagi Malaysia selepas Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu), Kinabalu National Park (Sabah) dan Gunung Mulu National Park (Sarawak).

AHP merupakan inisiatif di bawah kerjasama serantau untuk menguruskan jaringan kawasan perlindungan (protected areas) di rantau ASEAN yang mempunyai keunikan, kepelbagaian biologi dan nilai ekologi terpenting.

Perkara ini telah dipersetujui oleh negara-negara anggota ASEAN melalui ASEAN Declaration on Heritage Parks and Reserves 1984 yang ditandatangani oleh negara Brunei Darussalam, Indonesia,
Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand pada 29 November 1984.

TNJER dilitupi lebih 90 peratus hutan hujan tropika serta ekosistem yang masih terpelihara dengan hampir keseluruhan kawasan perlindungan dikelilingi oleh rizab hutan simpan.

TNJER mengandungi 80 spesies tumbuhan yang diancam secara global yang tersenarai di bawah Endangered Species IUCN Red List. Ini termasuk 38 spesies yang Critically Endangered (CR), 16 spesies Endangered (EN) dan 26 spesies Vulnerable (VU).

TNJER adalah habitat penting bagi pemuliharaan mamalia besar yang terancam terutamanya Harimau Malaya (Panthera tigris), Malayan Tapir (Tapirus indicus), Beruang Matahari (Helarctos malayanus) dan Gajah Asia (Elephas maximus).

“Pencalonan TNJER sebagai AHP antara lainnya akan meningkatkan imej TNJER sebagai kawasan konservasi penting di negeri Johor dan Taman Negara yang kedua di Semenanjung Malaysia, memperkukuhkan pengurusan TNJER berasaskan kepada best management practice setaraf dengan pengurusan kawasan perlindungan serantau dan antarabangsa serta meningkatkan jaringan hubungan dan kerjasama di antara kawasan perlindungan di dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan mengemukakan dokumen pencalonan TNJER sebagai AHP kepada Sekretariat AHP di Filipina untuk dipertimbangkan oleh kumpulan kerja ASEAN serta kelulusan di peringkat Menteri-Menteri ASEAN pada
tahun 2021.- MalaysiaGazette