Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meniyram pokok Berlian sebagai simbolik Majlis Pengumuman Tabung Amanah Warisan Negara (AWAN) dengan menjadikan Taman Tugu, Kuala Lumpur sebagai taman pertama diletakkan di bawah AWAN. foto SAFWAN MANSOR, 04 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk meletakkan Projek Taman Tugu di bawah Amanah Warisan Negara (AWAN) bagi memastikan ia kekal terpelihara dan menjadi hak milik kesemua rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan Taman Tugu yang bakal siap sepenuhnya menjelang 2020 tidak dipindah milik untuk kepentingan pihak tertentu.

“Kerajaan telah beri kelulusan untuk Taman Tugu diletakkan di bawah sebuah badan amanah warisan awam yang dinamakan sebagai Amanah Warisan Negara, jadi tiada siapa (empunya), ianya milik rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Hasanah anjuran Khazanah Nasional Berhad, di Taman Tugu, di sini, hari ini.

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad.

Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan juga bersetuju untuk meluluskan kawasan tambahan seluas 25 ekar yang bersebelahan dengan Projek Taman Tugu berkenaan.

“Ini adalah sebahagian daripada tambahan kepada kawasan seluas 66 ekar yang telah sedia diletakkan di bawah AWAN.

“Justeru jumlah keluasan keseluruhan Taman Tugu ini akan menjadi 91 ekar dan apabila kita campur dengan Taman Botani Perdana yang bersebelahan, keseluruhan taman hijau ini menjadi seluas 331 ekar,” katannya.

Katanya, apabila Projek Taman Tugu itu siap nanti, ia bakal menjadi kawasan hijau dalam bandaraya yang sebaris dengan taman-taman botani di negara maju lain.

“Jadi bolehlah sebaris dengan bandaraya-bandaraya terkemuka  seperti High Park London, New York dan Tokyo yang mempunyai kawasan hijau di tengah-tengah bandaraya,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan kawasan-kawasan hijau lain di seluruh negara diletakkan di bawah AWAN pada masa akan datang.

“Ini untuk melindungi kawasan-kawasan tersebut (terpelihara) untuk generasi kita, anak cucu kita,” ulasnya.

Sementara itu, Perdana Menteri juga mengumumkan hasil rekaan pemenang bagi pertandingan reka bentuk bangku dan gazebo bakal menghiasi Taman Tugu berkenaan.

“Ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Arkitek Landskap Malaysia.

“Pemenang pertandingan ini boleh berbangga kerana hasil rekaan mereka akan menghiasi Taman Tugu dan digunakan oleh para pengunjung,” katanya. – MalaysiaGazette