Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) diminta menambah sejumlah tujuh lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dan jangkauan luar di negeri Johor berbanding 13 yang ada sekarang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Adham Baba berharap pertambahan itu dapat dibuat sebelum akhir bulan ini.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama CITF berkata, pertambahan PPV itu selaras dengan komitmen bagi mempercepatkan lagi proses vaksinasi di negeri-negeri yang akan berhadapan musim tengkujuh termasuk negeri Johor.

Sehingga 4 September 2021, sejumlah 175,360 rakyat negeri Johor telah menerima suntikan vaksin di 13 PPV bergerak dan jangkauan luar sedia ada.

Daripada jumlah itu, seramai 89,263 telah menerima dos pertama vaksin, dan 86,097 telah lengkap divaksinasi.

Secara keseluruhan 261,457 dos telah diberi di 13 PPV bergerak dan luar jangkauan ini.

“Apabila jumlah PPV bergerak ini ditambah kepada 20, saya percaya lebih ramai rakyat negeri Johor khususnya di luar bandar akan mendapat suntikan vaksin dalam tempoh terdekat.

”Untuk rekod, terdapat sebanyak 364 Pusat Pemberian Vaksin di negeri Johor dengan jenis berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, di peringkat nasional, setakat 4 September 2021, sebanyak 36.1 juta suntikan dos telah diberikan di seluruh Malaysia yang mana 20.4 juta individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin, manakala 15.77 juta lagi telah lengkap divaksinasi.

Ini menjadikan peratusan populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi di seluruh Malaysia adalah sebanyak 67.4 peratus.

Di negeri Johor sahaja, sebanyak 3.68 juta suntikan dos telah diberi kepada 2.25 juta penduduk bagi dos 1 dan 1.42 juta dos yang kedua.

Setakat ini, Johor mencatatkan sebanyak 83.1 peratus daripada populasi dewasa yang telah menerima sekurang-kurangnya dos 1 dan 52.6 peratus yang lengkap divaksinasi.

Kadar purata vaksinasi harian di Johor sepanjang tujuh hari lalu adalah 59,683 dan semalam sahaja, sebanyak 59,240 dos diberikan di seluruh negeri Johor.

”Sepertimana diketahui ramai, bekalan vaksin yang diperolehi negara adalah bergantung kepada stok di peringkat global.

”Sukacita dimaklumkan, negeri Johor kini merupakan negeri kedua menerima bekalan vaksin terbanyak pada bulan Ogos 2021 di mana sebanyak 2.105 juta dos telah dibekalkan; 1.04 juta dos Pfizer, Sinovac 856,000 dan AstraZeneca 203,000,” ujarnya.

Sementara itu, pada bulan September 2021, Johor masih menjadi negeri kedua yang akan menerima jumlah vaksin terbesar sebanyak 1.984 juta; 1.82 juta dos Pfizer, 100,000 dos Sinovac, 40,000 dos AstraZeneca dan 22,000 dos CanSino. – MalaysiaGazette