Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe (kiri) diiringi Ketua Pasukan Malaysia, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak bercakap pada sidang media sempena Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengharapkan tiada masalah kecederaan melanda pasukan bimbingannya menjelang aksi persahabatan antarabangsa bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Katanya, pemain kini berada dalam keadaan terbaik namun terdapat masalah kecederaan melibatkan beberapa pemain yang mengganggu fokus pada latihan pagi tadi.

“Kami gembira beberapa pemain dipanggil termasuk Mohd Aidil Zafuan memandangkan pasukan dilanda masalah kecederaan tetapi status belum dipastikan sama ada mereka sudah boleh diturunkan menentang Sri Lanka malam esok.

“Bahang Piala Malaysia yang kini sudah memasuki separuh akhir menyebabkan ada pemain yang tersenarai dalam skuad kebangsaan mengalami kecederaan.

“Jadi tahap kecergasan mereka adalah keutamaan kami khususnya menjelang aksi kelayakan Piala Dunia bertemu Vietnam di Hanoi 10 Oktober ini,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Ditanya mengenai pertemuan esok, Cheng Hoe berkata, beliau mengharapkan keputusan terbaik dan mengembalikan momentum pemain.

Ditanya peranan Nor Shahrul Idlan Talaha yang ditukar posisinya daripada pemain sayap ke serangan, Cheng Hoe berkata, masalah kecederaan yang melanda penyerang utama, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi memaksa beliau mencuba pemain yang sesuai.

“Kita tahu bahahgian serangan kita Muhammad Shahrel cedera dan kita sedang tunggu pengesahan doktor fisioterapi sama ada dia cergas untuk diturunkan berdepan Sri Lanka esok. – MalaysiaGazette