Rumah Pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Tun Razak, Kampung Baru.

KUALA LUMPUR – Seramai 62 penduduk Rumah Pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Tun Razak, Kampung Baru di sini terpaksa dipindahkan sementara, susulan kejadian tanah mendap selepas hujan lebat di kawasan itu, lewat petang semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Kapten (PA) Aziana Hizazi berkata, ia melibatkan 15 keluarga yang terdiri daripada 23 lelaki, 26 wanita, enam kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan dan dua bayi.

“Berikutan hujan lebat sejak 6.45 petang, APM telah melakukan tinjauan di kawasan ‘hotspot’ banjir dan mendapati berlaku keadaan tanah mendap di kawasan Flat PKNS sebelum ia dimaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“DBKL kemudian telah mengarahkan penduduk supaya mengosongkan kediaman untuk sementara dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), Dewan Serba Guna Jalan Hamzah yang dibuka sejak 1.20 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

— BERNAMA