Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar selepas selesai perbicaraan kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 18 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Hari ini merupakan hari ke-17 perbicaraan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu, yang juga Perdana Menteri keenam dituduh melakukan kesalahan-kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Seperti biasa, beliau yang mengenakan kot hitam dan bertali leher kelihatan tenang dan tersenyum kepada penyokong setia dan menyapa pengamal media serta orang awam sejurus keluar dari kereta pada jam 8.50 pagi.

Sehingga hari ini, pihak pendakwaan belum dapat membuktikan lagi wujudnya bukti berhubung penggubahan wang haram mahupun rasuah setelah memanggil 35 orang saksi.

Bagaimanapun, soal penyalahgunaan kuasa dengan pengaruh bergelar Perdana Menteri pada masa itu sehingga berjaya mendapatkan dana pinjaman berbilion ringgit untuk SRC International yang juga merupakan syarikat dengan modal berbayar RM2 terus menjadi tanda tanya.

Saksi ke-34, Amirah Muhamad Nor yang merupakan bekas Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Sokongan Pelaburan (ISSD), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mendedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantu beliau membuat kenyataan.

Kata Amirah, maklumat datang dari beliau namun suruhanjaya itu  membantunya membina ayat ketika membaca kenyataan pada prosiding di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Amirah yang juga seorang pesara mendedahkan pada 2011, KWAP telah meluluskan kemudahan pembiayaan berjangka berjumlah RM2 bilion kepada syarikat SRC International dan meluluskan pembiayaan tambahan dengan jumlah yang sama tahun  berikut.

Prosiding bersambung hari ini dengan memanggil Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan KWAP, Azlida Mazni Arshad bagi menyambung kenyataan beliau berkaitan pinjaman RM2 bilion kepada syarikat itu.

Khamis lepas, Azlinda memberitahu mahkamah pinjaman sebanyak RM2 bilion itu adalah terlalu besar bagi sebuah syarikat dengan  modal berbayar RM2.

Beliau turut mendedahkan Najib pernah meminta KWAP mempercepatkan kelulusan pinjaman tersebut. – MalaysiaGazette