Azhari Shaari
Azhari Shaari

SHAH ALAM – Dalam keghairahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menaikkan kadar tarif air, UMNO mengharapkan Selangor terkecuali daripada kenaikan itu.

Ini kerana menurut Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, Selangor merupakan negeri paling banyak menghadapi krisis air yang berpunca daripada kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih.

“Kita harap rakyat Selangor tidak menghadapi kenaikan tarif air yang tinggi memandangkan mereka telah beberapa kali dibebani dengan gangguan bekalan air sejak beberapa tahun lalu.

“Buat masa ini, difahamkan kerajaan Selangor tidak akan menaikkan tarif air walaupun kos memproses air semakin meningkat.

“Namun kita hanya mampu berdoa agar tarif air tidak dinaikkan. Segala keputusan akhir ditentukan oleh kerajaan Selangor sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada media di semalam.

Pada Rabu lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Katanya, kenaikan tarif sumber asli itu perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

Beliau bagaimanapun, memberi jaminan kenaikan itu tidak akan membebankan rakyat dan pihaknya akan berunding dengan semua kerajaan negeri.

Menurut Azhari, keputusan kerajaan PH itu adalah suatu yang mengejutkan bagi rakyat di awal tahun baharu 2019.

Jelas beliau, air hari ini bukan sahaja menjadi bahan keperluan tetapi komoditi yang berharga.

Beliau mengimbas kembali krisis air di Selangor suatu ketika dulu, yang mana ketiadaan air menyebabkan banyak operasi perniagaan dan urusan rumah tangga terganggu.

“Buat masa ini bekalan air di negeri ini tidak menghadapi masalah, tetapi pada masa depan wallahualam.

“Kita di UMNO Bahagian Shah Alam amat bersimpati dengan nasib rakyat yang terpaksa menanggung kos kehidupan yang tinggi akibat ketidaktentuan harga minyak yang kini diapungkan.

“Kos persekolahan anak, pembaharuan lesen bagi yang berniaga dan pembayaran cukai pintu bagi penduduk bandar menyebabkan beban kewangan amat terasa,” katanya.

Beliau berharap tarif air di Selangor tidak dinaikkan memandangkan keadaan kewangan rakyat yang tidak mengizinkan terutama golongan miskin bandar.

“Awal tahun baharu ini berilah peluang untuk rakyat bernafas. Jika semua naik, lama-lama darah pun naik sama. Bertimbang rasalah,” katanya. – MalaysiaGazette