Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Langkah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman ke atas Sarawak Report (SR) bertepatan dengan ramalan.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang membuat ramalan itu berkata, dengan penarikan balik saman Pas ke atas SR bermakna tidak dapat dipastikan dakwaan ke atas portal itu memfitnah Pas.

Malah katanya, sama ada benar atau tidak benar, kini ia tidak dapat dibuktikan di mahkamah.

“Dari awal saya dah ramal beliau (Hadi) akan tarik saman itu. Nampaknya betul ramalan saya kali ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Tambah beliau, dengan tindakan Pas yang membuat penarikan semula saman ke atas SR ia tidak dianggap Pas menang dalam kes tersebut.

“Biasa orang menang kes fitnah di London lagi dapat duit banyak. Tapi dalam kes ini nampaknya tak bicara maka dah tentu tak menang. Yang lebih best lagi duit dah banyak keluar walaupun belum bicara jauh sekali menang.

“Bila saman fitnah tak diteruskan, logiknya tak dapat dipastikan apa yang dikatakan oleh SR itu fitnah atau tidak.

“Bila kes tak jalan dan ditarik balik maknanya itu bukan dikira menang. Bila tak menang maknanya tak boleh kata apa yang disiarkan oleh SR adalah confirmed fitnah.

“Apatah lagi dalam terma penyelesaian yang saya baca, tiada pun sebaris ayat SR tarik balik tuduhan atau minta maaf yang mungkin boleh ditafsir sebagai satu “concession” atau pengakuan apa yang disiarkan oleh SR adalah fitnah,” katanya yang merupakan timbalan menteri undang-undang.

Justeru katanya penyebaran audio yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti itu tidak dibantah oleh Pas membuktikan ia adalah benar.

“Bila tarik balik kes dalam keadaan sebelum ini dilapor media audio “ana tahu” tidak dibantah jadi keterangan ia menimbulkan spekulasi bahawa isi audio itu mungkin sahaja tiada yang lain kecuali benar belaka.

“Saya rasa ahli bawah parti ehem mahukan kes itu dibicarakan tapi nampak kini harapan hanya tinggal harapan. Tak pe derma untuk perjuangan Islam atas ruh wala’ akan dikira satu amalan baik,” jelasnya.

Semalam, Hadi membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah melalui Perintah Persetujuan bertarikh kelmarin di Mahkamah Tinggi London.

Manakala, Editor SR Clare Rewcastle-Brown
dalam kenyataan dipetik berkata, beliau berpuashati dengan penyelesaian luar mahkamah itu dan berharap dapat bersemuka dengan pihak yang menyamannya di mahkamah. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/02/kes-pas-saman-sarawak-report-selesai-luar-mahkamah/