Kevin Shawn Gomez
Kevin Shawn Gomez

SHAH ALAM – Teguran Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Sany Hamzan memakai baju kebangsaan ketika sesi persidangan kelmarin, menimbulkan kemarahan Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN).

Dalam teguran itu, Suee Lim telah menuduh Sany yang juga Ketua PAN telah melanggar peraturan DUN, sekali gus mencemarkan kemuliaan dewan.

Naib Ketua Pemuda PAN, Kevin Shawn Gomez berkata, sayap parti itu memandang serius teguran keras Speaker DUN dan dukacita dengan mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memakai baju kebangsaan ketika sesi DUN bersidang sebagai mencemarkan kemuliaan dewan.

Katanya, Suee Lim sebagai Speaker Dewan sepatutnya lebih peka dengan peraturan dewan, yang mana baju Melayu lengkap serta bersongkok hitam dibenarkan ketika dewan bersidang, bukan pada hari Jumaat sahaja.

“Kita mohon Speaker Dewan menarik balik kenyataannya yang mengelirukan dan tidak tepat itu khususnya terhadap Yang Berhormat Sany serta kepada seluruh ADUN secara amnya.

“Kami mengingatkan beliau, baju Melayu adalah baju Kebangsaan Malaysia dan turut dipakai oleh Raja-Raja serta para pemimpin tertinggi negara dalam kebanyakan acara istiadat rasmi.

“Pemakaian baju Melayu sepatutnya dipromosikan dan diangkat martabatnya kerana ianya merupakan khazanah kebanggaan kita rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Dalam sesi sidang semalam, Suee Lim tiba-tiba menegur Sany yang berpakaian baju Melayu lengkap bersongkok dan sampin, yang disifatkan beliau sebagai mencemarkan dewan yang mulia. – MalaysiaGazett