Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi di negara ini menyatakan komitmen penuh untuk mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah masyarakat digital berpendapatan tinggi di bawah pelan induk Jalinan Digital Negara (Jendela).

Para pengendali seperti Celcom Axiata Bhd., Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Maxis Bhd., U Mobile Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Bhd., dan TIME dotcom Bhd., berkata pelan yang lebih baik akan dilaksanakan melibatkan kesemua pemegang taruh swasta dan awam.

Jendela yang dipacu oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi dan agensi-agensi lain di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Pihak industri percaya kerjasama ini dengan semua pihak ini amat penting dalam memudah cara pelaksanaan infrastuktur dengan cara yang tersusun, impak kerja sivil, orang awam dan alam sekitar yang minimum,” kata syarikat-syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Pelan induk Jendela diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dengan sasaran untuk mempercepatkan kesalinghubungan digital di dalam negara menerusi akses mudah alih, fiber dan talian tetap tanpa wayar sekali gus membuka jalan kepada 5G di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025).- MalaysiaGazette