Lebih banyak kenderaan boleh ditempatkan di kawasan letak kereta tambahan HSI.

KUALA LUMPUR – Tempat meletak kereta tambahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) akan dibuka hari ini, sekali gus dapat mengurangkan keadaan kesesakan kenderaan yang sering menjadi rungutan selama ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pada Ogos 2022, kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM500,000 bagi kerja-kerja menaik taraf kawasan tempat letak kereta di HSI.

Selain itu, kerajaan negeri juga sebelum ini telah mengumumkan peruntukan RM95,000 bagi penggantian bumbung polycarbonate serta kerja berkaitan, dan juga RM75,000 bagi kerja pembekalan kerusi berangkai di ruang menunggu.

”Yakinlah bahawa kerajaan negeri akan sentiasa berusaha yang termampu untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meningkatkan mutu perkhidmatan. bukan sahaja dari sudut rawatan kesihatan, tetapi juga dari sudut penambahbaikan infrastuktur,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, YB Tuan AH SOON; Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Ir Abu Bakar Abd Aziz, serta semua yang terlibat dalam kerja-kerja penyiapan tempat letak kereta ini. – MalaysiaGazette