Foto Twitter Tengku Muda Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Foto Twitter Tengku Muda Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

KUALA LUMPUR – Malang menimpa Tengku Puan Pahang apabila  terseliuh kakinya selepas jatuh daripada tangga.

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkongsi mengenai kejadian itu di laman sosial berkata, beliau kini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya.

Semuanya gara-gara menggunakan telefon bimbit ketika menuruni tangga sehingga khusyuk membaca Twitter dan tidak menyedari kedudukan anak tangga.

Isteri kepada Pemangku Raja Pahang Tuanku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu terpaksa berehat selama enam minggu disebabkan kecederaan tersebut.

“Semalam (3 Julai) sibuk baca Twitter, tidak perasan anak tangga dan saya jatuh terpelecok kaki.

“Dosa main telefon agaknya, sekarang kena pakai kerusi roda pula. Innalillahwainnailaihorojiun,” kata baginda yang mengalami ‘hairline fracture’ atau terseliuh,” tulisnya di posting kelmarin.

Tunku Azizah bagaimanapun sempat bergurau dengan insiden yang menimpa dirinya dan menyifatkan ia adalah ‘kecederaan media sosial’.

“Saya ketawa pada diri sendiri. Moral daripada kejadian ini, tiada telefon semasa sedang berjalan.

“Saya terlepas anak tangga dan saya gelarkan ia kecederaan laman sosial,” katanya pada posting berasingan.

Minggu lalu, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melahirkan rasa kecewa dan terkejut apabila mendakwa akaun sebuah pertubuhan amal yang dinaunginya dibekukan tanpa sebarang makluman.

Beliau mempertikaikan tindakan Bank HSBC membekukan akaun Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) selepas mereka tidak mengisytiharkan aset ahli jawatankuasanya.

Kata Tunku Azizah, HSBC telah menulis pada Disembar meminta beliau mengisytiharkan aset ahli jawatankuasa.

Tunku Azizah berkata, pembekuan akaun itu hanya diketahui selepas cek TAFF dikembalikan HSBC.- MalaysiaGazette