Lim Teong Kim. Foto Facebook Perak Footbal Club.

KUALA LUMPUR – Bekas pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim hari ini mengemukakan representasi aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) mengenai pemecatan atau penamatan kontrak beliau serta-merta daripada mengendalikan pasukan itu yang didakwanya dibuat secara tidak sah.

Beliau yang hadir ke pejabat JPP di Greentown, di Ipoh, Perak bersama peguamnya, Adam Yap Boon Han turut menuntut supaya pengurusan pasukan itu melunaskan baki bayaran gaji 16 bulan iaitu bermula dari tarikh pemecatan sehingga tarikh sepatutnya kontrak dua tahun mengendalikan pasukan itu tamat.

Adam berkata, representasi yang dikemukakan bukanlah tindakan undang-undang sebaliknya berbentuk aduan kepada JPPM bahawa penamatan kontrak itu tidak sah sekali gus mahukan jabatan itu memainkan peranan dengan mengadakan rundingan khususnya berkaitan baki gaji 16 bulan sebelum tempoh asal kontrak tamat.

“Representasi dibuat mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 atas alasan penamatan kontrak itu yang dibuat secara serta-merta pada 24 Mei lalu adalah penamatan secara pramatang memandangkan kontrak itu bersama Perak FC seharusnya untuk dua tahun namun hanya berlangsung selama lapan bulan.

“Jadi kami berpendapat penamatan kontrak itu terjumlah kepada satu pembuangan kerja yang tidak sah dan tidak adil. Jadi kami di sini mempunyai hak undang-undang untuk membuat satu representasi atau aduan kepada JPP yang bertindak selaku badan pendamai.

“Jika rundingan melalui badan pendamai ini masih tidak mencapai apa-apa pendamaian atau kata putus maka perkara ini baharu akan dirujuk kepada mahkamah perusahaan,” katanya memetik laporan Bh Online di sini hari ini.

Bulan lalu, Perak FC mengumumkan Teong Kim selaku ketua jurulatih skuad itu tidak lagi bersama pasukan Liga Super itu berkuatkuasa serta-merta, dan pada masa sama mengumumkan ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun Perak, Yusri Che Lah mengambil alih sebagai ketua jurulatih sementara.

Sementara itu, Teong Kim berkata beliau dimaklumkan sebab pemecatannya daripada mengendalikan Perak FC melalui surat bertarikh 24 Mei lalu adalah kerana alasan prestasi dan keputusan diperoleh pasukan Perak FC tidak memuaskan lalu pasukan tidak lagi memerlukan perkhidmatannya.

Beliau berkata, alasan bahawa petunjuk prestasi utama (KPI) tidak dicapainya yang membawa kepada beliau dipecat sebelum tempoh kontrak dua tahun tamat, tidak seharusnya dijadikan sandaran bagi pemecatannya kerana musim liga masih sedang berlangsung dan belum berakhir.

“Walaupun adanya terma ‘KPI’ yang dimaktubkan di dalam kontrak berkenaan untuk dicapai setakat ‘point’ atau tangga ke berapa tetapi isu ini tetap adalah pramatang kerana liga masih belum lagi di akhir musim. Jadi macam mana kita nak tahu sama ada KPI sudah dicapai atau tidak?

“Jadi saya datang ke sini hari ini hanya untuk menuntut hak di bawah kontrak itu, termasuk berkenaan apa-apa gaji yang sepatutnya mengikut terma kontrak itu yang tidak terbayar, maka ia harus dibayar seperti mana dimaktubkan dalam kontrak. Itu sahaja,” katanya.

Katanya, tujuan representasi dibuat tidak sesekali bermakna beliau menaruh dendam kepada Perak FC serta bersifat tindakan peribadi sebaliknya bagi menuntut hak mengikut undang-undang iaitu agar segala terma yang dipersetujui dalam kontrak dilaksanakan.

“Saya datang ke Perak dengan hati yang baik. Jadi saya nak keluar pun dengan hati yang baik. Itu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette