Mohd. Aizat Ibrahim tidak dapat menahan sedih ketika menceritakan ditawarkan jawatan pembantu tadbir Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak (LPKPS) menggunakan kelayakan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) selepas SPAD dibubarkan dalam satu pertemuan di pejabat MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Bekas eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mendakwa jadi mangsa penganiayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meluahkan hasrat mahu bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak.

Mohd. Aizat Ibrahim, 32, berkata, beliau ingin memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri itu secara peribadi.

Beliau yang baru menimang cahaya mata pertama mengakui kesilapan selama ini yang sering mengkriktik Najib dan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara terbuka di laman sosial selama ini.

“Saya tidak sangka Najib akan berkongsi status luahan saya di Facebook beliau. Bagi saya beliau berjiwa besar kerana beliau tahu saya pernah mencaci beliau dan BN, namun beliau tetap mengambil berat untuk berkongsi luahan saya itu.

“Saya memang teringin hendak jumpa beliau kerana ingin memohon maaf dan saya anggap Najib sebagai negarawan hebat,” katanya yang berkunjung ke pejabat MalaysiaGazette di sini hari ini.

MGF21042019_TEMUBUAL BEKAS PEGAWAI SPAD11 copy
Mohd Aizat Ibrahim menunjukkan surat tawaran kerja sebagai pembantu tadbir Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak (LPKPS) dengan menggunakan kelayakan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) ketika ditemubual di pejabat Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 APRIL 2019

Semalam, Najib berkongsi status Mohd. Aizat di laman Facebook yang mendakwa beliau menjadi mangsa penganiayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau ditamatkan perkhidmatan apabila kerajaan membubarkan SPAD dan mewujudkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Kementerian Pengangkutan.

Namun hanya 282 bekas kakitangan SPAD daripada 967 yang diserapkan ke pelbagai jawatan dan bakinya termasuk Mohd. Aizat yang ditamatkan perkhidmatan hanya diberi pampasan mengikut tempoh tahun bekerja.

Menerusi sosial medianya itu, Mohd. Aizat mendakwa beliau beberapa kali membuat rayuan tetapi hanya pada 16 April lalu ditawarkan menjadi pembantu tadbir Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak (LPKPS) dengan menggunakan kelayakan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Jika beliau menerima tawaran itu, Mohd. Aizat akan melapor diri pada 5 Mei ini.

Buat masa ini, Mohd. Aizat yang merupakan lulusan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Putra Malasyia masih menganggur.

Mengulas lanjut, beliau yang memegang jawatan terakhir sebagai Eksekutif ICOP Keselamatan di SPAD berharap PH membuat perubahan besar selepas diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mei tahun lalu.

MGF21042019_TEMUBUAL BEKAS PEGAWAI SPAD02
Mohd Aizat Ibrahim foto AFFAN FAUZI, 21 APRIL 2019

Mohd. Aizat bagaimanapun mengakui kecewa dengan apa yang terjadi ke atas SPAD kerana kerajaan sanggup membubarkan satu agensi dalam kementerian yang menjadi punca rezeki kepada ratusan kakitangan.

“Saya mengaku pada PRU14 saya tidak undi Barisan Nasional (BN) kerana sebelum itu banyak sangat isu yang menimpa UMNO seperti kes pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin-pemimpn UMNO keluar parti termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya jadi keliru kerana hendak undi PH tetapi ada DAP. Akhirnya saya undi Pas namun tidak kisah PH menjadi kerajaan kerana yakin mereka dapat melakukan perubahan kepada negara.

“Tapi akhirnya saya buat kesilapan dan rasa ramai lagi anak muda lain yang tertipu dengan PH,” katanya yang mengundi BN pada PRU13.

Dalam pada itu, Mohd. Aizat turut memuji ketelusan yang diamalkan oleh BN ketika menjadi kerajaan berbanding PH ketika ini.

“Saya dapat makluman ada kakitangan SPAD yang kritik kerajaan di laman sosial ketika ini diberi surat amaran.

“Saya dulu masa di SPAD tidak pernah ditegur walaupun sering menggunakan Facebook mengkritik kerajaan BN.

“Jadi di mana kebebasan suara yang dilaungkan oleh kerajaan PH?

“Sekurang-kurangnya kerajaan BN tidak buang kakitangan dan tutup agensi,” katanya yang tidak akan memadam status di Facebook yang mengkritikan BN selama ini kerana berani dan mengaku membuat kesilapan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. memang betul negarawan terhebat dunia. 1malaysia kena tipu. 1dunia sedang memburu. penyokong dia jembalang berupa manusia .

Comments are closed.