Pembukaan bilik pameran kereta elektrik Tesla di wilayah berkontroversi Xinjiang di China mencetuskan kecaman terhadap pengeluar Tesla di AS.BBC News

LONDON – Pengeluar kereta elektrik Tesla menerima kecaman di Amerika Syarikat (AS) selepas syarikat itu membuka bilik pameran di Xinjiang yang kontraversi di China.

Syarikat milik bilionair Elon Musk membuka bilik pameran di bandaraya Urumqi pada ambang tahun baharu 2022.

Langkah itu mencetuskan kritikan di laman media sosial terhadap syarikat tersebut di barat.

China dituduh menggunakan buruh paksaan dan melakukan pembunuhan kaum di Xinjiang.

Senator daripada parti Republikan, Marco Rubio menuntut bukti bahawa barangan yang diimport daripada Xinjiang tidak dihasilkan menerusi buruh paksaan.

“Kerjasama berkenaan membantu Parti Komunis China menutup jenayah buruh paksa dan genocide yang berlaku di rantau itu,” ciap Rubio dalam akaun Twitternya.

Bagaimanapun disebalik segala kritikan itu, bilik pameran baharu Tesla itu dialu-alukan oleh pengguna di China menerusi laman media sosial, Weibo.

Sebelum ini Nike dan H&M juga berdepan tentangan pada tahun lalu selepas menyatakan kebimbangan mengenai dakwaan penggunaan buruh paksa Uyghur dalam pengeluaran kapas.

Malahan pengeluar mikrocip di AS, Intel memohon maaf selepas dikecam mengenai surat syarikat itu  yang mendesak pembekal tidak melibatkan buruh paksa dari Xinjiang, sekali gus dikritik hebat di China sehingga ada desakan memboikot produk Intel.

Wilayah Xinjiang merupakan tanah air kepada kaum etnik Uyghur yang mana terdapat dakwaan buruh paksaan digunakan di wilayah itu.

Pada Disember 2020, penyelidikan berasaskan penyiasatan BBC menunjukkan China memaksa ratusan ribu suku etnik Uyghurs sebagai buruh paksa di kilang pengeluaran kapas namun Beijing menafikan dakwaan tersebut. – BBC News