Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji mengumumkan agihan keuntungan 3.10 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, lebih baik berbanding 3.05 peratus yang direkodkan pada 2019.

Sejumlah RM2.24 bilion akan diagihkan kepada kira-kira sembilan juta pendepositnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri melahirkan rasa syukur dengan prestasi positif TH pada tahun kewangan 2020 di sebalik persekitaran ekonomi Malaysia dan global yang tidak menentu akibat pandemik.

Selain itu, jumlah deposit di TH merekodkan paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM76.7 bilion pada 26 Februari 2021.

Ini sekaligus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.

“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi tahun 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lepas.

“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette