Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dikritik kerana gagal memahami punca Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid dipecat.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Zuraida sebagai orang nombor tiga parti pasti akan faham keputusan pemecatan itu sekiranya beliau tidak culas dalam menghadiri mesyuarat yang dibuat parti.

“Saya rasa kalau beliau hadir mesyuarat Biro Politik dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam, maklumat penuh disampaikan kepada kami. Ia cukup jelas untuk tindakan tersebut (pecat) diambil.

“Jadi saya tegaskan sekali lagi, semua pimpinan lain hendaklah peringatkan diri sendiri untuk sentiasa hadir mesyuarat. Gunakan platform pertemuan parti untuk bincangkan perkara-perkara ini, bukannya keluarkan kenyataan dalam media.

“Bagi saya itu (membuat kenyataan media) tidak menyelesaikan masalah dan hanya akan merumitkan keadaan. Platform terbaik adalah dengan beliau hadir mesyuarat, saya tegaskan sekali lagi,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

BACA: Dua ahli PKR Pahang dipecat, dipercayai terlibat rasuah

Fahmi turut berkata berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam telah diberikan maklumat penuh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan terhadap Zakaria.

Zuraida sebelum ini mengecam tindakan PKR memecat Zakaria dan seorang lagi ahli di Pahang yang disifatkannya sebagai “berani” dan pilih bulu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu seterusnya menggesa PKR melakukan reformasi kepimpinan dengan segera, jika parti itu “mahu diselamatkan”.

Tindakan memecat Zakaria diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim semalam.

Malah turut dipecat seorang ahli di Pahang, Ismail Dulhadi, selepas SPRM mendapati Zakaria yang juga Ketua PKR Bahagian Bera itu menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 ketika bertanding dalam pemilihan parti tahun lalu.

Ia dinafikan Zakaria yang berkata beliau tidak tahu menahu mengenai pemecatan itu dan akan menunggu penjelasan rasmi parti sebelum memaklumkan tindakan susulan yang mungkin diambilnya. -MalaysiaGazette

Pecat ahli PKR: Reformasi yang bawa rebah