Kesan habuk dipercayai dari pencemaran kilang berhampiran rumah penduduk Ozana Resident di Ayer Keroh, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 12 November 2022.

MELAKA – “Bau busuk akibat pencemaran gas ammonia dan bunyi bising dari operasi kilang yang hanya terletak kurang 20 meter dari rumah benar-benar menghantui nasib kami di sini sejak hampir tiga tahun lalu,”

Itu luahan Ariffin A Ghani, 64, yang mewakili lebih 2,000 penduduk di Ozana Resident, Bukit Katil di sini mengenai pencemaran yang didakwa berpunca daripada operasi empat buah kilang bersebelahan taman berkenaan.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan nasib 530 buah rumah penduduk di situ tidak ubah seperti tinggal di dalam ‘sangkar emas’ kerana terpaksa menutup pintu dan tingkap sepanjang masa.

Penduduk Ozana Resident, Ariffin A.Ghani, 64 ditemubual media mengenai aduan pencemaran bunyi dan bau dari kilang berhampiran rumahnya di Ayer Keroh, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 12 November 2022.

“Sejak masalah ini timbul apabila projek ini siap tiga tahun lalu, pencemaran gas ammonia yang dipercayai dilepaskan dari empat kawasan kilang bersebelahan menyebabkan penduduk berdepan pelbagai penyakit dalam tempoh jangka panjang.

“Sekarang ini pun, kami sering mengalami batuk-batuk kerana debu-debu halus terbang memasuki rumah menyebabkan kami tidak dapat melakukan aktiviti luar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, S Devindran, 37, berkata, dia dan isteri sering mengalami migrain sejak berpindah ke situ setahun yang lalu sedangkan tidak pernah mengalami masalah kesihatan sebelum ini.

Penduduk Ozana Resident, S.Devindran, 37 ditemubual media mengenai aduan pencemaran bunyi dan bau dari kilang berhampiran rumahnya di Ayer Keroh, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 12 November 2022.

“Mula-mula dulu, saya hairan juga tapi bila dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp taman beritahu memang ada berlaku pencemaran udara, barulah saya tahu punca migrain selama ini.

“Sekarang ini, nak bagi anak perempuan berusia lima tahun main di luar rumah pun saya takut dan terpaksalah berkurung sahaja tutup pintu dan tingkap,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Mustafa Raja Mohd, 45, berkata, selain pencemaran bunyi dan bau, rumah bernilai lebih RM600,000 yang dibeli pada 2019 itu berisiko retak akibat gegaran daripada operasi kilang berkenaan.

Penduduk Ozana Resident, Mohd Mustafa Raja Mohd, 45 ditemubual media mengenai aduan pencemaran bunyi dan bau dari kilang berhampiran rumahnya di Ayer Keroh, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 12 November 2022.

“Pada waktu-waktu tertentu, gegaran yang berlaku daripada operasi kilang yang jaraknya hanya kira-kira 20 meter dari rumah saya membuatkan pintu bilik turut bergegar.

“Bila masalah ini diadukan kepada pihak berkuasa, bunyi dan asap yang dikeluarkan tiba-tiba berkurangan tetapi semakin kuat dan banyak pencemaran pada waktu tengah malam atau ketika hujan lebat,”katanya.

Pandangan sama dikongsi, David Teh, 59, yang sering mengalami sakit tekak dan kerongkong sejak tinggal di situ dan meminta pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian bagi membela nasib penduduk.

Penduduk Ozana Resident, David Teh, 59 ditemubual media mengenai aduan pencemaran bunyi dan bau dari kilang berhampiran rumahnya di Ayer Keroh, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 12 November 2022.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, berkata, beliau memandang serius masalah dihadapi penduduk yang didakwa berpunca daripada kilang sarung tangan, alat ganti kenderaan, fiber dan logam bersebelahan.

“Untuk langkah awal, saya difahamkan sudah ada persetujuan antara kilang yang akan menanggung kos memasang pengadang penebat bunyi setinggi enam meter sepanjang 500 meter jalan dalam taman berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette.