Mohamad Hassan
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan bercakap semasa sesi sidang media selepas program Bicara Minda anjuran Sinar di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2019

SHAH ALAM – Perbuatan Timbalan Menteri Luar, Senator Marzuki Yahya yang dikatakan menipu kelayakan akademiknya dianggap satu perkara memalukan jika dakwaan itu benar.

Malah, ia juga tidak wajar berlaku terhadap seorang yang bergelar senator, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Beliau berkata, perkara itu diserah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kerajaan untuk tindakan kerana Marzuki merupakan salah seorang anggota Kabinet.

“Kalau benar saya pun turut berasa malu,” katanya pada sidang media selepas program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad menafikan UMNO membayar RM90 juta kepada Pas atau Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi mendapatkan sokongan.

Beliau menegaskan, tidak mengetahui dakwaan itu sebaliknya menyatakan dirinya sendiri tidak pernah bersetuju dengan sebarang politik wang.

“Saya memang tidak pernah setuju dengan politik wang ini, saya memang tak bersetuju.

“Berkenaan Pas tu, saya tak tahulah. Setahu saya, UMNO tidak pernah beri, kalau ada orang lain beri tak tahulah saya,” katanya.

Mohamad turut menasihatkan ahli dan pemimpin UMNO supaya mengubah sikap dengan meninggalkan politik wang jika mahu parti itu bangkit, sekaligus kekal relevan.

Katanya, selagi politik wang berakar umbi, mana-mana organisasi besar sekali pun akan runtuh kerana wujudnya elemen rasuah.

Ujar beliau, jika rasuah tidak dibanteras, sebesar manapun sesebuah tamadun, ia boleh tumbang.

Tegasnya, untuk menangani persepsi UMNO sebuah parti yang rasuah, beliau sudah meminta seorang daripada naib presiden parti itu untuk menggubal pindaan perlembagaan dengan memasukkan elemen membanteras politik wang. – MalaysiaGazette