Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya, di Ampang, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengesahkan kenyataan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Menurut beliau, seramai 10 Ketua UMNO bahagian termasuk dirinya menjadi saksi hidup selepas perkara itu dimaklumkan Ahmad Zahid dalam satu perjumpaan tertutup sebelum mengerjakan umrah pada Ramadan lalu.

“Saya dan sembilan Ketua UMNO Bahagian mengesahkan kenyataan itu betul kerana Datuk Seri Zahid sendiri memberitahu perkara itu kepada kami.

“Perjumpaan itu berlaku di Yayasan Akalbudi iaitu sebelum Datuk Seri Zahid menunaikan umrah di Tanah Suci,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid sebagai ‘saksi kritikal’ yang menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Timbalan Perdana Menteri itu menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

Najib, 70, sebelum ini memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan Titah Adendum berkenaan.

Menurut Ahmad Zahid, beliau diberitahu mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam pertemuan di rumahnya di Country Heights, Kajang pada 30 Januari lalu.

Katanya, Tengku Zafrul menunjukkan kepada beliau salinan Titah Adendum itu pada telefon milik Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu yang diambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here