KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd (TM) di peringkat rundingan akhir dengan Digital Nasional Bhd (DNB) dalam langkah ke arah untuk melancarkan rangkaian 5G di negara ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Imri Mokhtar berkata, aturan untuk memuktamadkan perjanjian ekuiti dan perjanjian borong dengan DNB adalah mengikut jadual dan ia sedang berusaha untuk memenuhi tarikh akhir 31 Ogos, 2022 seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

“Sebagai rakan kongsi pilihan DNB, kami (TM)  menjangka perkhidmatan pemajakan fiber yang kami sediakan untuk melancarkan menara rangkaian 5G, akan meningkat dengan pesat pada separuh kedua tahun ini, lebih baik daripada separuh pertama.

“Kami turut menyatakan minat kami kepada DNB untuk mendaftar sebagai pemegang saham dan proses itu masih berjalan,” katanya pada taklimat media mengenai pengumuman keputusan kewangan suku kedua 2022 TM di sini hari ini.

Tiada ketetapan masa diberikan mengenai pelancaran perkhidmatan rangkaian 5G berikutan ia perlu memastikan semua perjanjian yang diperlukan dimeterai, katanya, sambil menambah TM terus menguji perkhidmatan 5G, bukan sahaja dalam kalangan rangkaiannya tetapi juga dengan kumpulan pelanggan yang lebih kecil.

Mengulas mengenai penggunaan peranti 5G, beliau berkata ini akan bergantung kepada sistem peranti itu.

“Memandangkan banyak peranti yang memasuki pasaran menyokong rangkaian 5G, ia amat bergantung kepada sistem itu, yang bukan sahaja terpakai untuk TM, tetapi juga untuk seluruh industri.

“Kami tidak melihat 5G sebagai perkhidmatan mudah alih tetapi sebahagian daripada cadangan penumpuan kami. Kami akan terus menyokong gaya hidup ‘hyperconnectivity’ sama ada 4G atau 5G,” katanya.

Sementara itu, Imri berkata TM dijangka menyemak semula Panduan Pasaran 2022 selepas pengumuman keputusan suku ketiga pada tahun ini.

Ini berikutan pertumbuhan perolehan yang meningkat sebanyak 7.3 peratus pada suku kedua 2022 berbanding 6.4 peratus pada tahun kewangan 2021.

Panduan Pasaran 2022 untuk pertumbuhan perolehan menggariskan pertumbuhan yang rendah hingga pertengahan satu angka.

“Melihat kepada momentum tersebut, kami akan, jika perlu, menyediakan panduan pasaran baharu. Bagaimanapun, ini adalah kemudian (selepas suku ketiga) apabila pertumbuhan perolehan TM bukan sahaja daripada unifi tetapi juga TM One, TM Wholesale dan Credence, syarikat yang dilancarkan baru-baru ini untuk memacu pelanggan korporat kami dalam keupayaan dan kemahiran digital,” katanya. – BERNAMA