KUALA LUMPUR- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih belum memuktamadkan keputusan sama ada tetap mahu meneruskan penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 atau tidak.

Bagaimanapun, Menterinya Datuk Seri Reezal Merican memberi jaminan, KBS dan Majlis Olimpik Malaysia akan sentiasa meletakkan aspek keselamatan dan kesihatan atlet negara dan para pegawai sebagai keutamaan tertinggi dalam proses membuat keputusan tersebut.

Katanya, kesemua 45 negara termasuk Malaysia dalam satu sesi persidangan video dengan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) telah menyokong keputusan badan sukan antarabangsa itu untuk meneruskan temasya Sukan Olimpik di Tokyo mengikut jadual.

Malaysia diwakilili oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam sesi berkenaan.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Presiden MOM sendiri bahawa undian sokongan tersebut adalah tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya pihak IOC akan berusaha membuat perubahan yang adil dalam proses kelayakan atlet-atlet; aspek kesihatan dan keselamatan atlet dan pegawai menjadi kepentingan; semua pihak terus memantau perkembangan terkini ancaman COVID-19 dari masa ke semasa.

“IOC yang secara keseluruhannya mempunyai 206 negara sebagai ahli gabungan perlu dan akan mendapat pandangan majoriti sebelum membuat keputusan muktamad.

“Bagaimanapun, saya percaya IOC dan semua negara anggota akan mengambil langkah yang wajar dengan mengambilkira pandangan dan cadangan WHO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya pandemik global COVID-19 ini menjadi lebih serius dan tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

IOC mencadangkan supaya penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada akhir Julai ini diteruskan walaupun dunia sedang dilanda wabak Covid-19.

Namun begitu, masih belum ada keputusan muktamad yang diambil setakat ini.- MalaysiaGazette