Personaliti laman sosial terkenal, Wan Aizatul Syafiqah Wan Ubaidillah

KUALA LUMPUR – Selepas 24 tahun terlibat produk kesihatan, Totalife (M) Sdn. Bhd.  kini giat mempelbagaikan cabang perniagaannya dengan memperkenalkan Totalife Skarf iatu rekaan tudung eksklusif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Danny Chew, berkata pengenalan produk terbaharu itu sebagai memperlihatkan keyakinan syarikat terhadap produk muslimah dan dalam masa sama membantu ahli untuk menambah pendapatan bulanan.

Chew berkata, sebagai permulaan, pihaknya mengeluarkan 5,000 helai tudung pelbagai warna menarik dengan dihiasi sulaman jenama ‘Totalife’.

“Dengan rekaan unik ini, ia mampu memberi nilai tambah serta mencipta kelainan kepada produk itu sendiri.

“Pasaran bagi fesyen muslimah mempunyai permintaan tinggi dan kami lihat ia mampu memberi kelebihan kepada ahli kami yang kebanyakannya adalah suri rumah untuk menambah pendapatan,” katanya.

Skarf yang menggunakan fabrik jenis satin sebagai material utama itu hasil daripada kerjasama dengan personaliti laman sosial terkenal, Wan Aizatul Syafiqah Wan Ubaidillah sejak empat bulan lalu dijual pada harga RM70 sehelai.

Mengulas mengenai jumlah ahli, Danny berkata, syarikat kini memiliki seramai 47,000 ahli dan yakin ia mampu mencecah 50,000 ahli aktif pada 2020.

“Kami menjangkakan sebanyak 100 orang ahli baharu akan menyertai keluarga Totalife setiap bulan,” katanya. – MalaysiaGazette