Suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipenuhi dengan pelancong dari luar negara susulan pelaksanaan Fasa Peralihan Endemik di Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di seluruh negara mencatatkan peningkatan 52 peratus bagi trafik antarabangsa pada Mac 2022 berbanding bulan sebelumnya.

Dalam kenyataan pada Khamis, MAHB menjelaskan peningkatan dengan 420,000 pergerakan penumpang antarabangsa itu direkodkan susulan pelaksanaan pelbagai program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin antara Kuala Lumpur dan Singapura, Bangkok, Phuket dan Phnom Penh selain antara Pulau Pinang dan Singapura.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut mengalu-alukan syarikat penerbangan antarabangsa baru iaitu Air India Express pada 28 Mac, yang menyediakan penerbangan tiga kali seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli di Tamil Nadu, India, tambahnya.

Ia merupakan satu-satunya syarikat penerbangan asing dengan perkhidmatan berjadual antara Tiruchirappalli dan Kuala Lumpur, menurut MAHB.

Sementara itu, syarikat penerbangan rakan kongsi juga terus menyambung semula lebih banyak laluan antarabangsa seperti Malaysia Airlines (MH) dan Malindo Air yang terbang ke Perth selepas pembukaan semula sempadan Australia pada 3 Mac.

MH menyambung semula penerbangan ke lima bandar di India pada bulan yang sama, dengan perkhidmatan udara ke New Delhi, Bangalore, Mumbai, Chennai dan Hyderabad.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata pihaknya terus dirangsangkan oleh peningkatan beransur-ansur pergerakan penumpang antarabangsa di lapangan terbang tempatan susulan pembukaan semula sempadan pada 1 April.

“Sejak itu, kami merekodkan purata harian sebanyak 20,000 pergerakan antarabangsa. Kami menjangkakan jumlah ini meningkat lagi sebaik sahaja Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) mula menerima penumpang antarabangsa bulan ini,” katanya.

Beliau berkata sebelum pandemik COVID-10 menular, BKI adalah lapangan terbang ketiga paling sibuk bagi trafik antarabangsa dengan purata 8,460 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari.

Pada Mac, MAHB merekodkan 5.31 juta pergerakan penumpang dengan lapangan terbang tempatannya di Malaysia memberi perkhidmatan kepada 57 peratus atau 3.03 juta penumpang.

Aset di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul pula memberi perkhidmatan kepada 2.29 juta penumpang, iaitu 1.15 juta penumpang antarabangsa dan 1.14 juta penumpang domestik.

Bagi Malaysia, keseluruhan pergerakan penumpang meningkat sebanyak 19 peratus pada Mac daripada angka pada Februari.

Pergerakan trafik penumpang domestik MAHB juga meningkat 15 peratus kepada 2.61 juta penumpang berbanding dengan angka pada bulan sebelumnya.

“Memandangkan perjalanan udara semakin rancak, Malaysia Airports kekal komited dalam menyediakan pengalaman yang selamat dan lancar kepada semua penumpang yang melalui lapangan terbang kami,” jelas MAHB.

— BERNAMA