Asap tebal menyelubungi Lebuh raya Barmer-Jodhpur selepas sebuah trak dan bas bertembung. foto Times of India.

NEW DELHI- Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 22 orang lagi cedera selepas sebuah bas dan sebuah trak bertembung di negeri Rajasthan di barat India, kata polis.

Berikutan perlanggaran itu, bas berkenaan terbakar.

Kemalangan itu berlaku di lebuh raya di daerah Barmer, kira-kira 535 km ke barat Jaipur, ibu kota Rajasthan.

“Selain enam orang maut, ramai lagi cedera,” kata seorang pegawai polis sambil menambah semua mangsa adalah penumpang bas.

Angka korban dijangka meningkat.

Media-media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku di Lebuh Raya  Barmer-Jodhpur.

Bagaimanapun punca nahas masih belum dipastikan tetapi kertas siasatan sudah dibuka.

Nahas jalan raya di India biasa berlaku disebabkan lebihan muatan, keadaan jalan raya yang teruk serta pemandu secara melulu.

Kira-kira 150,000 orang maut di atas jalan setiap tahun dalam setengah juta kes kemalangan yang berlaku di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan India, Nitin Gadkari baru-baru ini berkata, kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2024. – Agensi