TRX City Sdn. Bhd. (TRX City) telah membuat laporan polis berhubung pemindahan dana entiti itu berjumlah RM3 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tun Razak Exchange

KUALA LUMPUR – TRX City Sdn. Bhd. (TRX City) telah membuat laporan polis berhubung pemindahan dana entiti itu berjumlah RM3 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan di sini, TRX City berkata, pemindahan dana-dana itu dibuat antara pertengahan tahun 2012 dan awal 2017 atas arahan 1MDB.

Dana-dana itu telah dipindahkan daripada kegunaannya untuk projek-projek Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia.

“Dana sejumlah RM3 bilion itu dipindahkan semasa TRX City menjadi anak syarikat 1MDB, dengan pemahaman ia akan dibayar balik kepada TRX City,” katanya kenyataan itu.

Laporan polis telah dibuat di balai polis Jalan Travers.

TRX City akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk siasatan selanjutnya.

Laporan polis itu dibuat selepas menerima arahan daripada Menteri Kewangan pada minggu lalu.

TRX City dahulunya dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd adalah pemilik projek-projek utama bagi TRX dan pembangunan Bandar Malaysia.

Syarikat itu kemudiannya diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 31 Mac tahun lalu selepas syarikat berkenaan sukar menjual tanah-tanahnnya dan mendapat pembiayaan bank kerana dikaitkan dengan syarikat kontroversi 1MDB. – MalaysiaGazette