SEPANG – Tulang manusia yang ditemui oleh seorang juruukur di sebuah kawasan hutan ladang getah terbiar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini semalam dipercayai milik wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun, kata Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali.

Beliau yang dihubungi di sini hari ini berkata DNA (asid deoksiribonukleik) wanita itu diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk pemeriksaan, dan polis turut berusaha mengesan identitinya menerusi pangkalan data laporan kes orang hilang.

Rangka manusia yang dipercayai berada di kawasan itu kira-kira setahun lepas, ditemui oleh seorang juruukur bersama beberapa rakannya ketika sedang melakukan kerja ukur tanah di kawasan berkenaan pada kira-kira 10 pagi semalam (Rabu).

Beberapa barangan turut ditemui di tempat kejadian seperti selipar, pakaian, bantal, cincin, gelang, dan jaket, namun tiada sebarang pengenalan diri ditemui, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA