Chai Chon Tak, 29, dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini akibat menumbuk lengan kiri ibu kandungnya di Langkap, Isnin lalu.

TELUK INTAN – Seorang buruh sawit dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini akibat menumbuk lengan kiri ibu kandungnya di Langkap, pada Isnin lalu.

Majistret, T Ashvinii menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Chai Chon Tak, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tertuduh ditangkap pada 27 November lalu.

Mengikut pertuduhan, Chon Tak didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap ibu kandungnya, Hew Yoke Cheng, 50, di sebuah rumah dalam bangunan Pejabat DAP, Lorong Taman Langkap Jaya, Langkap di sini sekitar jam 3 petang Isnin lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta wang sebanyak RM10 daripada ibunya kerana ingin menghisap dadah.

Bagaimanapun, ibunya enggan memberikan wang dan Chon Tak bertindak menumbuk lengan kiri ibunya itu. Akibat perbuatan itu, ibu tertuduh mengalami kecederaan tisu lembut.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), F Faustina yang mewakili tertuduh memohon supaya hukuman paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan memohon mahkamah untuk mengambil kira kecederaan yang dilakukan terhadap ibu tertuduh selain tindakannya meminta wang dan kejadian itu berlaku di khalayak ramai.

Justeru, beliau meminta supaya hukuman setimpal diberikan ke atas tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Cubaan bunuh koperal, kelindan lori mengaku tidak bersalah