KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menerima keahlian baharu melibatkan 12 bekas pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, berkuatkuasa, hari ini.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, kemasukan mereka diterima parti itu selepas Biro Politik dan Biro Pengurusan Putra membuat keputusan itu, hari ini.

“Putra telah menerima borang keahlian daripada YAB Tun bersama 11 borang daripada bekas pimpinan Pejuang.

“Biro Politik dan Biro Pengurusan Putra sebulat suara menerima dan mengesahkan keahlian tokoh-tokoh terutamanya YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami amat teruja dan mengalu-alukan penyertaan tokoh negarawan tanah air, pemimpin Malaysia bertaraf dunia yang sarat dengan pengalaman sebagai bekas Perdana Menteri dua kali,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Putra, di sini, hari ini.

Antara bekas pimpinan Pejuang yang menyerahkan borang keahlian Putra ialah Datuk Marzuki Yahya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Mohd Jafrie Hussain, Abu Bakar Yahya, Ahamed Basheer Mohd Huss, Fyzul Adzwan Mustapha, Azman Mohd Hashim, Afiqah Mohammad, Wan Azlina Wan Adnan, Armin Baniaz Pahamin dan Mohamad Jani Ismail.

Kesemua borang keahlian Putra itu diterima di ibu pejabat parti itu pada 20 Februari lalu.

Mahathir bersama 13 lagi ahli yang keluar daripada Pejuang sah menyertai Putra, Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin di laman Facebooknya, pada 24 Februari lalu.

Selain keahlian, Biro Politik dan Biro Pengurusan Putra yang mesyuarat hari ini sebulat suara melantik Dr Mahathir sebagai penasihat parti itu.

“Kita akan mengadakan majlis penyampaian kad keahlian bersama watikah pelantikan penasihat Putra kepada Tun di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, pada 1 Mac ini.

“Biro politik dan biro pengurusan juga bersetuju sebagai penasihat, Tun boleh beri pendapat apa saja isu dalaman parti, isu semasa, isu negara mahupun politik tanpa syarat,” katanya.

Sebagai menghargai Dr Mahathir menyertai Putra, Ibrahim sedia melepaskan nombor keahlian partinya kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Saya bersedia untuk menarik balik nombor ahli Putra nombor 1 kepada nombor 2 untuk diserahkan kepada Tun.

“Saya undur diri sebagai ahli nombor satu kerana rasa hormat kepada Tun.

“Walaupun Putra berusia hampir empat tahun, tapi kita anggap Tun ahli Putra nombor satu dan Tun dilantik penasihat Putra berdasarkan fasal 29 Perlembagaan Putra,” katanya.

Sementara itu, Putra turut menerima sebanyak 1,112 borang keahlian baharu setakat 20 Februari lalu.

“Sejak berita Dr Mahathir mahu menyertai Putra tersebar, semakin ramai mahu menyertai Putra dan terbaru kami menerima 1,112 borang keahlian sejak seminggu lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette