MELAKA – “Saya tak sangka Raja Permaisuri Agong ajar teknik buat murtabak begitu, jadi lepas ni saya akan tambah menu Murtabak Rendang Permaisuri sebagai perhargaan buat baginda,”.

Itu dikongsikan peniaga murtabak rendang, Mohd Razi Hamid, 38, yang menerima ‘teguran’ daripada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika berangkat ke bazar Ramadan Peringgit, di sini, hari ini.

Tunku Azizah terdahulu singgah di gerai berkenaan untuk mencuba menu murtabak rendang ayam dan daging yang dijual duda anak tiga itu di bazar berkenaan sejak 13 tahun lalu.

Menurut Mohd Razi, dia terkejut apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah tiba-tiba berhenti di hadapan gerainya itu.

Mohd Razi

“Lepas itu, Raja Permaisuri menitah supaya saya buat murtabak menggunakan teknik baginda iaitu menggunakan dua lapisan tepung dan ditambah dengan salutan telur.

“Mungkin baginda mahu agar murtabak saya kelihatan lebih kemas dan tidak berselerak dan saya fikir bagus juga jika menu ini ditambah jadi Murtabak Rendang Permaisuri sebagai menghargai teknik diajar baginda,” katanya yang turut mengakui mengetahui kepakaran baginda dalam soal masakan.

Sementara itu, seorang pengunjung bazar, Zurina Baharudin , 32, berkata dia terkejut apabila tiba-tiba ditegur Seri Paduka berdua ketika baharu sampai dari Muar, Johor untuk membeli juadah nasi beriani terkenal di bazar berkenaan

“Rasa bertuah sebab ini adalah pengalaman pertama saya dan suami Kamaruddin Farid, 50 serta tiga anak-anak Corinne Iriena , 9, Clorinda Erina , 6, Iriyan berusia setahun bertemu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri.

“Lebih bermakna apabila baginda turut beri duit raya kepada ketiga-tiga anak,” katanya.

Terdahulu keberangkatan Seri Paduka berdua pada jam 4.40 petang itu ditemani puteri Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Keberangkatan tiba disambut Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Ab Rahman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan barisan Exco kerajaan negeri.

Kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah itu juga menjadi tumpuan pengunjung serta orang ramai yang hadir ke bazar berkenaan.

Dalam kunjungan selama satu jam itu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan membeli pelbagai juadah berbuka puasa selain beramah mesra bersama peniaga. – MalaysiaGazette