KUALA LUMPUR – Pelakon Hanez Suraya menjelaskan hubungannya dengan suami, Romie Razin Adilha Abd Rais masih lagi bahagia.

Menerusi akaun Instagramnya sebentar tadi, Hanez, 32, memberitahu tiada apa-apa yang berlaku dalam alam rumahtangganya.

“Tiada apa yang perlu jelaskan di atas apa yang terjadi. Sememangnya kami hanya manusia biasa yang tidak (dapat) lari daripada melakukan kesilapan.

“Cuma, apa yang penting antara saya dan suami, kami masih bahagia bersama dan tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami masih kekal. Apa yang terjadi biarlah kami berdua selesaikan dan tidak perlu ada spekulasi yang menjadi tokok tambah daripada mana-mana pihak tertentu,” katanya.

Isnin lalu, Hanez dilaporkan memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah, di sini terhadap Romie.

Sumber memberitahu, Hanez bagaimanapun tidak hadir di mahkamah, sebaliknya hanya diwakili peguamnya.

Sementara itu, Hanez menambah, dia mempunyai sebab berdiam diri ketika perkara berkenaan menjadi bualan ramai.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak sekiranya saya mengambil langkah untuk berdiam (diri).

“Berdiam bukan bermaksud saya mengiyakan atau menafikan, cuma mahu mengambil masa mencari ruang untuk menenangkan diri. Syukur alhamdulillah, suami saya sentiasa tenang di atas apa yang berlaku ini.

“Terima kasih di atas sokongan kuat daripada pihak keluarga, rakan rapat, media dan peminat yang sentiasa memberi semangat serta mendoakan yang baik-baik buat kami,” ujarnya.

Pasangan yang berkahwin pada 25 Mac 2015 itu dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Aleesya, 13 bulan. – MalaysiaGazette