Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

KUALA LUMPUR – Pengurusan KK Super Mart tidak cukup sekadar memohon maaf, sebaliknya rangkaian kedai serbaneka itu perlu menutup kesemua 881 rangkaiannya di seluruh negara selama 14 hari sebagai tanda permohonan maaf.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar berkata, ia juga sebagai pengajaran kepada semua pihak sekiranya melanggar batas dalam bab kesucian agama Islam.

“Betul pengasas dan pengurusan tertinggi KK Mart telah memohon maaf dan bersedia menerima apa jua tindakan tetapi kesalahan yang dibuat adalah sesuatu sukar diterima.

“Apa juga alasan diberikan dan linangan air mata kemaafan bukan penghapus kepada perkara yang telah terjadi. Sekiranya perkara ini tidak diviralkan, natijahnya akan lebih buruk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan KK Supermart mengeluarkan permohonan maaf atas penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’ tular di media sosial.

Kedai serbaneka itu, dalam satu kenyataan berkata, ia telah menghentikan penjualan stokin yang dibuat oleh Miranosock.

Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh memberi amaran Pemuda UMNO akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan itu.

Dalam pada itu, Gulam yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu tidak bersetuju dengan cadangan Muhamad Akmal sambil menyifatkan ia sekadar langkah kosmetik.

“Saya sebenarnya tidak berapa bersetuju dengan tindakan Dr Muhamad Akmal menyarankan kesemua 881 cawangan rangkaian KK Mart menaikkan kain rentang memohon maaf kepada masyarakat Islam di dalam negara kita.

“Pada saya menaikkan kain rentang memohon maaf hanya bersifat kosmetik dan tiada nilainya dalam perkara ini. Kos buat banner pun baru berapa sen? Mungkin tak sampai RM30k-RM40k. Sorry Bro Akmal I’m beg to differ,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu yang membuat laporan polis dan bertindak tegas terhadap perkara ini yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Apa pun tahniah kepada Yang Berhormat Ketua Pemuda UMNO Malaysia, bila bab melibatkan kesucian agama Islam, mereka yang pertama berada di barisan hadapan mempertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette