Adios terakhir Ramos kepada Real Madrid selepas tidak menyambung kontrak bersama kelab itu kali ini.

MADRID – Bintang pertahanan Sergio Ramos mengucapkan selamat tinggal kepada Real Madrid dalam keadaan penuh beremosi dalam sidang media khas pada Khamis.

Pemain itu mula sebak ketika mengeluarkan kata-kata terakhir itu kerana tidak menyambng kontrak baharu bersama the Los Blancos.

Bintang veteran Sepanyol itu kini bersedia dirembat secara percuma oleh mana-mana kelab Eropah.

Pemain itu dengan sebak meluahkan hasratnya mahu terus kekal di Santiago Bernabeu.

Malangnya, rundingannya bersama the Galacticos untuk terus kekal bersama pasukan itu menemui jalan buntu selepas dia tidak bersetuju dengan syarat potongan gaji sebanyak 10 peratus.

Malah tuntutan awal memperbaharui kontrak selama dua tahun kepada Real juga dinafikan sebaliknya kelab tersebut hanya bersedia menawarkan kontrak 12 bulan kepada pemain sensasi itu.

Ramos telah bersama Real selama 16 tahun dan menjaringkan 101 gol dalam 671 penampilan bersama kelab itu dan menjulang 22 piala.

“Selamat tinggal Real Madrid, kamu sentiasa dalam hati dan ingatan saya.

“Satu fasa yang menakjubkan dalam kehidupan saya kini sudah sampai ke penghujung jalan di Santiago Bernabeu.

“Tetapi masa depan menarik menanti saya dan tidak sabar untuk mempamerkan keupayaan saya dan menang lebih banyak piala selepas ini di tempat lain,” sebak pemain itu di hadapan pemberita Sepanyol.

Menurutnya, walaupun dia tidak bersedia mengucapkan adios selama-lamanya, namun ia hanya bersifat sementara kerana saya akan kembali tidak lama lagi.

“Setinggi penghargaan kepada peminat yang menjunjung saya dalam hati mereka selama 16 tahun,” tambahnya.

Dalam satu lagi perkembangan berkaitan, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United yang memantau rapat perkembangan kontrak Ramos bersedia untuk mendapatkan khidmat percuma pemain itu.

Namun setakat ini tiada sebarang laporan mengaitkan tentang tawaran rasmi daripada the Red Devils terhadap bintang veteran Sepanyol itu. -MalaysiaGazette