Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengajak orang ramai terutama umat Islam memulaukan filem ala soft porn ‘Pulau’ yang akan ditayangkan pada Mac ini.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, bulan Mac juga umat Islam akan menyambut Ramadan dan tayangan filem itu langsung tidak sesuai.

Tegasnya, filem berkenaan banyak memberi mudarat berbanding kebaikan berdasarkan adegan dipaparkan sangat keterlaluan dan bertentangan dengan nilai serta budaya masyarakat Malaysia yang sopan.

“Apatah lagi filem menjolok mata ini sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam dan akan mencemarkan bulan Ramadan.

“Filem tempatan ini tidak sesuai untuk tontonan rakyat negara ini kerana memaparkan nilai budaya kebaratan,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mendesak Jabatan Kemajuan Islam Malaysian (Jakim) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengkaji serta mengesyorkan kepada kerajaan agar filem itu ditapis semula atau dibatalkan tayangan kepada umum.

Katanya, jika beberapa adegan ‘panas’ dalam filem itu ditapis dan tiada babak melampaui batas, ianya boleh ditayangkan, tetapi selepas Hari Raya Aidilfitri, bukan ketika umat Islam berpuasa Mac ini.

Mohd Zai juga berharap pengusaha filem menerbitkan drama yang membangunkan nilai murni masyarakat Malaysia yang tinggi dengan adab ketimurannya, berbilang kaum dan agama serta menjaga batas sensitiviti agama Islam di negara ini yang majoritinya beragama Islam. – MalaysiaGazette